14.10.09

KHASIAT TEMBAKAU


RAMAI pemancing masih tidak mengetahui tembakau yang diadun secara tradisi untuk dihisap bersama rokok daun nipah terutama tekong bot mempunyai khasiat yang berguna terutama untuk perubatan alternatif sebelum mendapat ubat yang betul atau dihantar ke hospital.

Pernah berlaku kepada pemancing di Pantai Timur yang kehabisan ubat setelah mereka terluka kena mata kail menyebabkan banyak darah keluar. Tekong yang secara kebetulan menghisap rokok tembakau tradisional mengambil sedikit tembakau yang diadun secara tradisi dan dibasahkan dengan air.

Selepas itu tembakau berkenaan ditampal pada mata luka dan dibalut dengan kain bersih. Dalam masa kurang daripada setengah jam darah yang mengalir dari mata luka berhenti serta merta dan sejam lepas itu pemancing dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.

Kepada tekong atau nelayan tradisi mereka memang selalu membawa tembakau, jika tidak menghisap pun mereka akan simpan untuk dijadikan ubat. Getah tembakau yang kelat boleh dijadikan ubat untuk menahan darah atau untuk sengatan binatang biasa kecil seperti lipan atau kala jengking.

Disebabkan hari ini teknologi perubatan sudah semakin maju cara tradisional hampir dilupakan. bagaimanapun kepada nelayan tempatan mereka masih mengekalkan perubatan alternatif dengan membawa daun sireh, tembakau, cuka, bawang putih sebagai pengganti ubat jika terkena musibah.

Untuk itu kepada pemancing yang sering ke laut walaupun mempunyai ubat yang mencukupi perubatan tradisi perlu disediakan kerana ia boleh dijadikan satu cara perubatan sementara untuk mendapat khidmat perubatan moden.