6.10.09

KEMUSYKILAN

1. Bagaimana untuk membeli / memilih Kekili dan Joran yang baik?

Membelilah mengikut kemampuan. Murah atau mahal tidak menjadi masalah asalkan memberi 'perkhidamatan' terbaik untuk memancing. Namun kebiasaan yang mahal mempunyai kualiti yang agak sempurna. Jika memilih joran fikirkan adakah ia sesuai dengan gaya pancingan anda samada untuk kegunaan ke laut,sungai atau muara, tasik atau sebagainya. Material - samada gentian kaca, grafit atau gabungan karbon seperti boron atau grafit kevlar. Bahan-bahan ini sebenarnya termasuk dalam gaya pancingan anda. Jika kita memegang dalam waktu yang lama atau melakukan 'casting', perlulah anda memilih joran aksi ringan supaya tidak cepat lenguh tangan. Sesungguhnya joran jenis karbon dan grafit lebih ringan dan lebih mahal dari gentian kaca. Joran untuk kekili mendatar mempunyai bilangan cincin antara 5 ke 7. Jumlah yang seimbang memberi lenturan yang seimbang. Ketika membeli joran hendaklah diperiksa cincin dengan teliti, walaupun baru terdapat juga cincin yang rosak atau retak yang boleh merosakkan tali. Bentuk cincin yang berkaki tiga (2 dibelakang, 1 depan), berkaki empat dan berkaki tunggal. Cincin berkaki tunggal dan berkaki tiga lebih baik kerana ia lebih elastik, ia akan dapat mengikut joran melentur tetapi cincin berkaki empat tidak dapat berbuat demikian. Jenis pemegang joran yang popular ialah jenis gabus dan span. Pemegang gabus sedap dipandang dan sudah tentu harganya mahal sedikit. Sekiranya anda memilih joran 2 bahagian, pastikan sambungannya mestilah padu. Penyambung yang bagus akan menghasilkan bunyi 'pop' apabila ditanggalkan. Seperti joran, penghasilan kekili juga semakin hebat dan menarik, alas bebola (ball bearing) ditambah sehingga mencapai 11 biji. Sebenarnya penggunaan alas bebola ialah untuk melancarkan pergerakkan gelendung. Sebenarnya alas bebola tidak begitu penting tetapi ia dapat memberi kelancaran apabila digunakan. Kekili juga mempunyai peraturannya sendiri seperti jika ia hanya mampu menampung kekuatan 6 kg dengan tali sebesar 20 paun tapi anda menggunakan kekuatan 30 - 40 paun kesannya akan ditinggalkan pada gigi gear dan shaf utama. Adakalanya gigi gear tertanggal dan shaf bengkok, seterusnya ia akan mula mengeluarkan bunyi yang kurang enak didengar. Kedua-dua bahan ini amat perlu dijaga untuk penggunaan jangka panjang. Pastikan pemilihan joran, kekili serta tali bersesuaian barulah peralatan anda dapat bertahan lama.

2. Ikan Pari


Bila ia melekap didasar berbagai cara didengar untuk melepaskan -nya seperti menggunakan tempurung, tali pancing dibuat seperti bermain gitar, batu ladung bersama kain dicelupkan dengan pertrol dan tembakau rokok. Adakah cara ini jawapan yang sebenarnya?

Cara-cara seperti diatas adalah untuk membuat ikan pari terkejut dan lari adalah tidak logik sama sekali. Cara dan barangan seperti diatas yang anda hantar kebawah tidak akan sampai kepadanya atau tersekat kerana penggunaan tanduk,cili, atau batu ladung. Lainlah mata kail diikat terus pada tali utama. Bermain gitar mungkin cara terbaik bagi perairan cetek tapi bagaimana getaran tali akan sampai dalam jarak yang melebihi 20 meter? Sebenarnya apabila pari memakan umpan, ia akan melarikan diri dengan tali dibawah badannya dan apabila melekap ia akan membelakangkan pemancing. Bagaimana bahagian kepala pari akan terkena temburung, tutup botol, kain petrol atau bau tembakau?

Cara terbaik untuk menghalang pari dari mendatangkan masalah ialah jangan biarkan ia melekap, ketatkan drug sistem tegangan dan menahannya dari membenam kedasar. Sekiranya melekap juga, longgarkan 'drug' dan tunggu kerana lambat laun dia akan membebaskan diri juga. Ia terbukti dengan peserta GP Joran menaikan ikan pari yang cara yang demikian.

3. Bagaimanakah untuk membuat Umpan Dedak dengan betul

Tiga (3) bahan asas untuk membuat umpan dedak ialah dedak ( seelok-eloknya jenis hong, dedak paling halus), tepung gandum dan air. Sebelum memulakan proses ini, kadar dedak yang diperlukan dicampur sedikit air dan diuli sehingga liat. Jangan campurkan terlalu banyak atau terlalu kurang air, sekadar memadai sahaja supaya dedak menjadi liat dangan terasa sedikit lembap. Kemudian tambah sedikit tepung gandum dan di uli supaya umpan ini menjadi sebati, kental dan tidak rapuh. Untuk memastikan ia sesuai digunakan, ambil segenggam dedak yang sudah di uli tadi dan cuba kopakkan kepada dua (2) bahagian. Sekiranya ia tidak mudah terkopak bermakna umpan dedak sudah sedia untuk digunakan. Bahan-bahan perisa yang boleh ditambah mengikut citarasa ikan setempat seperti serbuk kunyit, perencah kurma, belacan, perahan air kelapa sawit dan sebagainya.