4.7.09

GENG JORANGADING

PARI GENG HAJI

KUALA PAHANG: Air pasang besar adalah keadaan dan detik paling sesuai menawan penghuni pantai Kuala Pahang kerana ketika itulah spesies pari dan gerong belang mengejar anak ikan serta udang hingga ke tepi pantai, kata pemancing tempatan, Shukmi Nordin dikenali sebagai Haji.

Katanya, kunjungan beliau bersama beberapa rakan baru-baru ini mendapati air pasang besar selama tiga jam antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang menyaksikan ramai kaki pancing mengerumuni pantai berkenaan dan tidak hairan waktu yang sama pada karnival GP Joran pada 7 Jun turut mengalami keadaan yang sama.

“Keadaan pantai sedikit berteluk, menyaksikan pelbagai spesies ikan berkampung di situ. Umpan hidup sama ada udang putih atau udang lipan amat digemari pari dan gerong belang. Begitu juga anak gelama ataupun bolos tetap menarik perhatian mangsa. Yang penting, pemancing perlu bersedia dengan udang hidup, manakala umpan segar kurang digemari.


“Kunjungan saya bersama Atan, Husin, Azman Giant dan Asram baru-baru ini menyaksikan sebanyak 18 pari bersaiz antara 10 hingga 25 kilogram berjaya didaratkan. Manakala tiga ekor gerong belang yang beratnya antara 2 hingga 4 kilogram turut ditewaskan,” katanya kepada JORAN.

Selain pari, spesies seperti sembilang, gelama papan, belukang dan kerapu turut mendiami perairan pantai Kuala Pahang yang menjadi lokasi kategori Pantai pusingan kedua Karnival GP Joran 2009 nanti.

Shukmi turut menasihatkan pemancing yang ingin menundukkan pari dan gerong belang bersaiz bagak di situ perlu menggunakan tali berkekuatan sederhana 40 pauns dengan perambut 50 pauns bagi mengelakkan berputih mata.

“Pari di sini amat licik, jika anda menggunakan tali 25 hingga 30 pauns bakal berputih mata. Jadi, pilih yang bersesuaian dan perambut hanya 1 meter. Jika menggunakan perambut dua atau tiga depa, alamat si todak yang menyambar umpan,” katanya.

Karnival GP Joran 2008 mencatatkan tangkapan seberat 58.84 kilogram bagi kategori Pantai dan gagal mengatasi rekod tahun 2005 dengan catatan 88.76 kilogram. Spesies pari menguasai Kategori Pantai dengan 17 tangkapan, diikuti gelama (sembilan), semilang (enam), duri (empat), todak (dua) dan masing-masing satu bagi ketuka serta aruan tasik.

Gerung belang yang disebut-sebut menguasai Kategori Pantai, bagaimanapun tidak terdapat dalam senarai pemenang.

INFO:

* Gunakan umpan udang hidup untuk memburu tangkapan lumayan
* Tali utama berkekuatan 40 paun dan perambut 50 paun
* Panjang perambut hanya 1 meter

PERSEDIAAN MEMANCING LAUT DALAM

Umpan - Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan pelaling (murah), ikan tongkol dan sotong pasar mencukupi untuk setiap trip.


Kekili - Lumrah kalau memancing laut dalam bukan saja pancing dasar menjadi tapi teknik hanyut, jigging, popping dan tundaan. Jadi, tiga set kekili adalah minimum dan kalau mampu bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan atau kehilangan (jatuh dalam laut).

Joran - Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 2 meter (5.5 kaki) hingga 2.5 meter (6.5 kaki) dengan aksi berat 30/80 paun, 50/80 paun atau PE4-PE8. Jika meminati jigging, guna joran kekuatan PE3-PE5 panjang 2 meter sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Kalau GT bersaiz XXXL elok gunakan joran berkekuatan sehingga PE8 dengan panjang yang sama atau 2 meter. Bagi popping, oran 2.5 meter sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan PE1 hingga PE3 untuk memancing apollo, anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).

Saiz tali - Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar dan menunda ialah 80 paun hingga 100 paun untuk tali utama kalau menggunakan tali sulam atau 50 paun hingga 80 paun jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam (braided) 60 paun hingga 80 paun dan disambung dengan tangsi kekuatan 80 paun hingga 100 paun sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).

Batu ladung - Penggunaan batu ladung kalau dibandingkan antara Pantai Barat dan Pantai Timur sedikit berbeza. Kalau di Pantai Barat had maksimum saiz 32 (1.5kg) di Pantai Timur pula had maksimum saiz 24 (1kg). Ini berdasarkan arus di pantai barat lebih deras berbanding pantai timur kerana laluan yang sempit. Di Sabah dan Sarawak, arus laut lebih kurang seperti Pantai Timur Semenanjung kerana berada di kawasan yang sama – Laut China Selatan. Biasanya memancing di laut hanya perlu membawa ladung mati bersaiz dari saiz 8 hingga 24 atau 32 jika di Pantai Barat. Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada masa memancing dan yang penting ialah sentiasa ada ladung tambahan jika berlaku tali pancing sangkut atau putus.

Perambut - Pastikan setiap trip laut dalam set perambut perlu dibawa berkekuatan minimum 30 paun hingga 100 paun tidak kira apa jenama atau harga. Gunakan perambut cerah atau sedikit kebiruan serta kehijauan dan seakan-akan warna air. Ada pemancing gemar menggunakan perambut keras dan sebaliknya. Kedua-duanya boleh digunakan asalkan perambut yang tahan kejutan (shock leader), tahan calar, tidak mudah kerinting atau bersimpul. Ada juga perambut di katakan memiliki tahap penglihatan amat rendah atau tiada langsung dalam air. Perambut ini juga dikenali sebagai perambut hantu (zero visibility).

Teknik - Jigging dan popping boleh gunakan perambut kasar sama ada siang dan malam tanpa masalah. Teknik memancing sudah nyatakan dan setiap jawapan bermula daripada pancing dasar (bottom) tundaan (trolling), hanyut (drifting), pertengahan air (mid), jigging, popping dan candat sekiranya perlu mendapatkan umpan sotong. Satu lagi perkara yang merujuk tentang teknik memancing ialah jarak perambut untuk pancing dasar ialah 2 hingga 3 depa diikat pada 2 mata kail 1/0 di depan dan 3/0 @ 4/0 di hujungnya. Atau mengunakan teknik apollo 2 mata jika kawasan berlabuh adalah karang tinggi.

Waktu - Saya tidak dapat nyatakan dengan tepat kerana ia perlu dirujuk lokasi yang bakal dikunjungi. Lebih afdal kalau kita minta khidmat nasihat dan pandangan kaki pancing yang pernah berkunjung di kawasan tertentu atau tepat minta pandangan tekong yang bakal kita tempah. Untuk masa pula, ikan lebih aktif dan galak waktu malam hari dan setiap kali berlaku perubahan arus. Ketika tiada arus ikan biasanya pasif walaupun paparan pada sonar terdapat banyak ikan di bawah. Jadi pedoman sampingan ialah rujuk jadual pasang surut (masa) untuk satu-satu lokasi yang bakal kita kunjungi. Set penggera pada telefon bimbit untuk setiap kali akan berlaku perubahan pasang surut air kerana waktu inilah kita perlu berjaga-jaga dengan lenturan yang bakal dikecapi di hujung joran.

RAHSIA MEMBURU DI KUALA PAHANG

Kuala Pahang terkenal dengan lubuk ikan terbaik dan sering menjadi lokasi utama kaki pancing dari seluruh negara menguji dan memburu spesies seperti ebek, tenggiri, bayan, ketarap, merah, jenahak, kerapu, landuk dan layar.

Perairan Kuala itu mempunyai puluhan lubuk, tukun dan karang buatan atau karang semula jadi yang di kenal pasti oleh tekong mahu pun nelayan veteran tempatan.

Antara lubuk yang menjadi tumpuan ialah Karang Mengepam (6 batu nautika), Karang Keroncong (4 batu nautika), Karang Cher (11 batu nautika), Karang Lintang Darat (69 batu nautika) Karang Lintang Tengah (8.5 batu nautika), Karang Dol (8.6 batu nautika), Karang Sembilan Buah (12.5 batu nautika) dan Karang Cerengdeng (9.7 batu nautika). Malah banyak lagi lubuk yang berada jauh dari muara Kuala Pahang.


Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pekan, Zamri Mohamad, berkata berdasarkan pengalamannya sebagai tekong, pemancing harus bijak memilih tarikh, masa dan umpan.

Tarikh air mati mengikut kalendar Islam sangat baik untuk memancing. Pada waktu itu, arus air pasang dan surut sangat lemah sekali gus kesempatan itu diambil oleh pemancing untuk memancing dengan selesa dan berterusan.

Pancing dasar perlukan arus yang sederhana bagi membolehkan umpan bergerak bagi menarik perhatian ikan yang berada dalam kawasan itu. Pada masa yang sama, elak daripada berdepan dengan arus yang terus mati (tidak berarus langsung).

Zamri berkata, umpan hidup seperti ikan, sotong atau udang sangat berkesan di perairan Kuala Pahang malah di merata perairan lain.

Umpan hirisan isi daging ikan segar masih boleh digunakan tetapi perlu selalu ditukar ganti bagi menentukan ia sentiasa dalam keadaan segar.

Selain itu, teknik menghiris isi ikan kembung, selar, tamban dan ikan selayang serta kaedah mencangkuk pada mata kail perlu disesuaikan dengan keadaan air.

Zamri turut menasihatkan pemancing menggunakan perambut panjang antara tiga hingga lima depa. Mata kail besar pula diikat dawai putih panjang sejengkal untuk mengelak putus dikerat gigi tajam ikan tenggiri atau alu-alu. Namun tenggiri lebih gemar perambut halus yang tidak dapat dilihat tetapi berisiko untuk putus sekali gus menyukarkan pemancing yang kurang berpengalaman.

Apa pun faktor arus pasang dan surut yang deras mempengaruhi keadaan sekeliling. Jadi, pemancing perlu menukar teknik kerana ada kawasan yang arusnya deras tetapi pada masa sama menjadi waktu paling galak ikan memburu umpan.

Kekili elektrik sesuai digunakan pada waktu begini kerana mengarau batu ladung sebesar penumbuk dalam arus deras bukan mudah malah memenatkan.

Bagi kumpulan Tuna Biru dan pemancing lain yang pernah berkunjung ke Kuala Pahang dapat merasakan bahawa lubuk, tukun dan karang di sini mampu menjamin kepuasan pemancing dengan hasil seperti kerapu, jenahak, merah, tenggiri, alu-alu, aruan tasik, jemuduk, cupak, mayung, ebek dan ibu gelama.

JANGAN BERLAGAK HERO

SENGAJA mendedahkan diri pada bahang panas matahari dan hujan lebat atau berembun pada waktu malam adalah perkara yang perlu dielak semasa memancing di kolam, sungai atau tasik lebih lagi di laut...

SENGAJA mendedahkan diri pada bahang panas matahari dan hujan lebat atau berembun pada waktu malam adalah perkara yang perlu dielak semasa memancing di kolam, sungai atau tasik lebih lagi di laut.

Panas terik akan mengundang kurang selesa dan bahang panas akan mengeringkan kulit kepala dan tubuh badan sekali gus tekak akan kering dan dahaga yang berterusan. Sebaik-baik langkah berjaga, pemancing kena cari tempat berteduh atau menggunakan topi lebar di kepala seperti kaum cina memakainya semasa bekerja di kebun sayur.

Menutup seluruh badan dengan kain lembut dan boleh menyerap peluh adalah langkah paling baik tapi ini tidak harus di biasakan, kerana mungkin kulit badan kita tidak dapat bertahan dan ia akan menjadi ruam kulit atau bertanda seperti panau, lagi berbahaya jika membiarkan baju yang basah itu kering di badan.


Adalah menjadi harapan supaya panas terik dan hujan lebat dapat dielakkan tapi banyakan minum air panas sejuk dan tidak membiarkan perut kosong kerana dibimbangkan perut masuk angin. Andainya jika ini berlaku anda akan berdepan dalam satu keadaan paling rumit kerana rawatan tidak seperti di darat, namun apa pun keadaan jika penyakit ini tidak berkurang langkah terbaik ialah membawa mangsa pulang.

Mengingati satu peristiwa yang dipetik dari cerita seorang kawan pancing dari Kahang Keluang Johor, terdedah pada bahang panas matahari yang panjang seorang pemancing jatuh pitam tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke jeti.

Daripada peristiwa ini dapat dijadikan satu iktibar bahawa kita tidak harus mendedahkan diri pada bahang panas matahari atau hujan lebat dianggap membantu segarkan badan tapi sangkaan itu tidak dapat memberi janji yang tepat, justeru langkah terbaik kita tidak melakukan perkara yang boleh melibatkan diri kita kepada keburukan.

Jangan jadikan panas terik dan hujan lebat sebagai permainan atau sengaja untuk menarik perhatikan kawan-kawan pancing bahawa akulah ‘jaguh’ tapi sebenarnya tindakan itu sesuatu yang memerangkap diri sebagai seorang yang paling bodoh.

Kadang-kadang petua yang kurang diyakini tapi menjadi, malah tidak kurang yang tidak menjadi walaupun diyakini. Allah lebih berkuasa daripada semua kekuasaan yang diciptaNya justeru kepadaNya saja untuk kita meminta atas jalan kebaikan.

JANGAN BUANG TANGKAPAN PERTAMA

ADA petua yang mengatakan - rezeki pertama yang didapati pada setiap kali aktiviti memancing sangat berkat terutama kepada kaki pancing sama ada di laut mahu pun di darat.

Petua kali ini memfokuskan kepada pemancing di laut. Justeru, ingatlah apabila kita mendapat ikan pertama sebaik saja mulakan aktiviti memancing maka itu adalah rezeki dari Allah dan tidak harus dibuang semula ke laut jika ikan itu sangat kecil atau spesies ikan yang tidak berguna.

Pendapat dan pandangan beberapa orang nelayan veteran yang ditemui mengakui bahawa rezeki pertama itu jika dibuang semula ke laut atau tasik mahu pun sungai ertinya kita tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah sedangkan kita mencari rezeki lumayan buat keluarga.


Pernah berlaku nelayan pulang dengan tangan kosong kerana dikatakan membuang ikan pertama yang tersangat kecil yang dinaikkan dan selepas itu beliau tidak dapat seekor ikan pun hingga pulang.

“Bagaimanapun ini tidak harus diletakkan sepenuh kepercayaan, kerana rezeki datangnya dari Allah. Justeru, Allah yang menentukan sama ada kita bernasib baik atau sebaliknya selepas memperoleh tangkapan pertama itu.
Pernah berlaku peristiwa begini kepada seorang pemancing laut di perairan Pulau Jarak yang mendakwa beliau tidak memperoleh seekor ikan pun sepanjang ekspedisi tiga hari dua malam kerana membuang anak ikan kerapu pada tangkapan pertama.

Namun beliau tidak langsung mengaitkan bahawa perkara itu menyebabkan beliau tidak bernasib baik. Cuma ada kemungkinan hari itu bukan harinya.

Apa pun bagi kita, rezeki yang datang dari Allah adalah pasti dan sebaliknya cuma terpanggil mengisi logik dan kebenaran yang nyata bahawa sebarang rezeki yang diberi Allah sama ada baik atau tidak kita kena menerimanya dengan ikhlas.

Bagi kita, langkah terbaik dan mensyukuri nikmat rezeki yang diberi Allah walau sekecil mana sekali pun kita kena menerima dengan ikhlas dan tidak membuangnya semula ke laut bagi pemancing yang memancing di laut malah adalah baik sebarang tangkapan pertama itu diambil sebagai rezeki berkat dari Allah.

ZIKIR DALAM BOT

Pada waktu begini, kita kena lebih berhati-hati supaya tidak banyak (kalau boleh jangan sekali-kali) bersiul, menjerit atau menyanyi dengan suara yang lantang kerana laut yang dihuni oleh makhluk halus dan berkeliaran pada waktu begini. Tindakan kita berkeliaran dan bersuka-suka dikhuatiri akan mendorong makhluk itu mengusik kita yang tidak menyedari kedatangan mereka.


Langkah terbaik pada waktu begini ialah memperbanyakkan berzikir atau berehat dengan membaca ayat suci al-Quran. Yang pasti, jangan lupa menunaikan solat wajib lima waktu. Lakukan ini untuk beberapa waktu setelah menjelang malam. Kemudian, kita boleh meneruskan aktiviti memancing dengan selesa. Namun dengan tidak bersiul, menjerit atau menyanyi dengan melepaskan suara yang kuat dibimbangkan akan mengundang bahaya tidak diundang atau tidak diduga daripada pihak kedua itu.

Namun dalam apa juga yang kita lakukan terutama pada waktu malam atau di tempat yang dapat dirasakan berlainan, anda perlu melakukan zikir dan ini boleh dizahirkan dengan suara dengan kuat.

Pernah berlaku ketika melakukan zikir begini dapat diikuti oleh suara kedua yang tidak dapat dilihat wajah nyatanya. Cuma suara saja yang dapat didengar mengikut suara zikir kita, demikian cerita seorang tekong dari Parit Unas, Muar ketika penulis bertanya mengenai makhluk halus yang boleh mengikut bacaan ayat suci itu.

Beliau tidak menolak mungkin adanya makhluk meniru mengikut bacaan kita mahu pun berzikir bersama tetapi cuma beberapa saat saja atau pada ayat-ayat tertentu saja. Justeru, kita harus mengalahkan suara kedua itu supaya kita menang dan suara kedua hilang kerana dengan kekalahan.

Justeru, berzikirlah dengan pelbagai lagu atau irama kerana berzikir itu adalah ketenangan selain mendapat pahala.

LEPASKAN IKAN YANG TIDAK DIGEMARI

SETIAP pemancing perlu meletakkan satu tekad dalam hati bahawa segala rezeki adalah ketentuan Allah. Setiap apa yang kita peroleh setiap kali keluar memancing adalah atas kehendak-Nya jua. Sebab itu jangan kita persalahkan sesiapa apabila ada sesetengah kumpulan pulang tangan kosong walaupun keluar beberapa hari memancing.

Yang pasti akan menjadi mangsa cemuhan ialah tekong, rakan sekumpulan, keadaan laut serta segala sebab yang boleh dikaitkan. Sehingga segala umpan yang dibawa juga dijadikan sebab atau dipersalahkan apabila kita tidak mendapat tangkapan seperti yang dihajati.
Ada sesetengah pemancing tidak bersyukur apabila mendapat ikan kecil atau spesies ikan yang tidak dikehendaki. Mulut mereka sentiasa bercakap celupar atau memaki hamun. Malah lebih buruk lagi, mereka menghempas ikan berkenaan ke lantai bot atau mencederakan ikan berkenaan kononnya kerana rasa kecewa atau marah.

Ini adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya wujud di kalangan pemancing. Ini kerana apa yang kita peroleh ketika memancing adalah sudah ditentukan Allah. Jangan kita pertikaikan kehendak-Nya. Sebaliknya, lebih banyak bersabar dan bersyukur walaupun hanya dapat menaikkan seekor ikan kecil dan tidak mencapai hajat seseorang.

Allah sentiasa menguji hamba-Nya sama ada bersyukur dengan pemberian-Nya dan tidak meletakkan diri masing-masing lebih besar daripada kuasa Yang Maha Esa.

Selain itu, orang tua-tua juga sentiasa mengingatkan kepada pemancing sekiranya ikan yang kita pancing tidak sesuai dengan kehendak kita dan tidak dikehendaki cepat-cepat lepaskan semula ke laut supaya ia kembali kepada keluarga dan habitat asal.

BOHONG ISTERI???

Jujur dan ikhlas adalah faktor utama atau asas dalam hubungan suami dan isteri walau dalam apa juga keadaan. Bagi warga kaki pancing yang sering merancang sama ada ke laut atau di mana saja daratan, sungai, lombong, tasik atau paya maka mereka harus berkongsi pendapat dengan isteri, ibu atau ayah.


Bergerak keluar meninggalkan rumah untuk mencari rezeki atas restu baik daripada isteri serta dalam pengetahuan ahli keluarga pastinya mendapat pahala. Selain itu, perjalanan mereka Insya-Allah akan dirahmati Allah selain mendapat kelapangan dan selesa serta mendapat rezeki yang diberkati-Nya.

Namun ada sebilangan kaki pancing yang tidak jujur kepada isteri atau membohongi ahli keluarga. Mereka mencipta atau mengadakan pelbagai alasan walaupun hakikat sebenarnya mereka hendak turun memancing. Mereka tidak berani memberitahu perkara sebenar sehingga akhirnya mereka menanggung dosa kerana berbohong. Niat baik (hendak pergi memancing) tetapi terpaksa menanggung dosa (kerana berbohong). Malah ada yang beranggapan tindakan itu sebagai ‘bohong sunat’.

Perkara begini pasti kurang disenangi oleh isteri selain anak mahupun ibu bapa. Malah, Allah tidak memberkati setiap langkah suami yang membohongi isteri. Pada masa sama rezeki yang dicari untuk keluarga itu turut tidak direstui Allah.

Bertitik tolak dari sinilah maka Pak Nuri terpanggil untuk mengajak semua kaki pancing supaya dapat berkongsi bersama dengan isteri dalam apa juga aktiviti yang ada hubung kait dengan memancing dan berterus terang lokasi yang bakal dituju dan lamanya setiap ekspedisi.

Kalangan isteri tentu menghargai atas kejujuran suami yang turut menjadi satu tanggungjawab baginya mengetahui usaha yang dilakukan suami bagi mendapat keberkatan. Malah usaha murni ini juga mewujudkan kasih sayang antara suami isteri. (Cuma di kalangan isteri perlu memberi peluang suami melakukan hobi memancingnya pada tahap berpada-pada).

Tidak ada rahsia yang patut diselindungkan antara suami isteri demi kebaikan terutama ketika mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah. Ini penting kerana rezeki daripada perbuatan yang membohongi isteri tentunya tidak berkat.

Justeru, jujurlah kepada isteri untuk mendapat keredaan Allah serta beroleh kesenangan di dunia dan akhirat Insya-Allah.

Pergilah memancing di mana saja kerana Allah berserta dengan hamba-Nya yang jujur.

PISAU LIPAT


PEMANCING selain dari memikirkan hobi keseronokan beraksi dengan ikan yang terkena pada mata kail, keselamatan diri harus difikirkan bersama dan ini adalah satu tanggungjawab yang patut diberi keutamaan selain urusan lain.
Melalui pengalaman beberapa pelaut yang di temui mereka mendakwa pemancing sering berdepan mala-petaka yang tidak diduga, justeru setiap pemancing kena bersedia lebih awal untuk menghadapinya.

PEMANCING selain dari memikirkan hobi keseronokan beraksi dengan ikan yang terkena pada mata kail, keselamatan diri harus difikirkan bersama dan ini adalah satu tanggungjawab yang patut diberi keutamaan selain urusan lain.

Melalui pengalaman beberapa pelaut yang di temui mereka mendakwa pemancing sering berdepan mala-petaka yang tidak diduga, justeru setiap pemancing kena bersedia lebih awal untuk menghadapinya.

Peristiwa berlaku kepada seorang nelayan muda yang jatuh ke laut bersama tali sauh terikat di kakinya. Keadaan dalam bot menjadi kelam kabut, namun tiada seorang pun sanggup terjun untuk membantu, tapi pemuda nelayan yang sudah sampai di dasar berjaya memutuskan tali sauh yang mengikat kakinya dengan pisau lipat yang sentiasa dibawa bersama setiap kali beliau turun memancing sama ada di laut, sungai, tasek atau paya.


Selain peristiwa seperti itu banyak lagi kegunaan pisau lipat yang boleh membantu keselamatan pemancing jika berlaku kemalangan. Pisau lipat boleh diibaratkan sebagai penyelamat atau dapat memberi semangat dalam keadaan tertentu.

Mengikut kepercayaan orang lama dalam hobi memancing, bahawa semangat besi yang dibawa walaupun sekecil mana sekali pun keberanian akan muncul terutama ketika berada dalam hutan atau di mana saja.

Sebab itu ada sesetengah pemancing akan memilih pisau lipat yang sesuai dengan keperluan mereka sama ada untuk kemudahan memancing atau meningkatkan semangat. Pisau berkenaan semestinya berada di samping anda setiap waktu sama ada tersangkut ditali pinggang atau dalam poket seluar.