13.1.10

SUMPAH IKAN TAPAH

(Hanya Allah sahaja Yang Amat Berkuasa)

Banyak perkara pelik yang tidak termampu
difikirkan oleh akal manusia akan kejadiannya. Apakah anda percaya bahawa manusi boleh disumpah oleh seekor ikan? Begitulah yang berlaku terhadap orang-orang dari keturunan Lambor, Parit , Perak. Mereka seolah-olah disumpah oleh ikan TAPAH.

KETURUNAN PAK KADUK PANTANG IKAN TAPAH

Ramai diantara kita sudah mengetahui cerita Pak Kaduk yang telah menang dalam perlawanan sabung ayam tetapi kampung halaman serta anak isterinya tergadai. Tetapi ramai yang tidak sedar cerita ini ada kaitan dengan segolongan masyarakat Melayu, khususnya penduduk-penduduk di negeri Perak yang pantang makan ikan tapah. Pantang larang memakan ikan itu ada kaitan dengan cerita Pak Kaduk yang membuat sumpahan tidak membenarkan keturunannya memakan ikan tapah. Sehingga kini sumpahan itu dipercayai belum berakhir.

Orang-orang yang kononnya pantang pantang makan ikan tapah itu berasal daripada keturunan Pak Kaduk serta kaum kerabatnya. Orang-orang luar yang berkahwin dengan anggota keturunan Pak Kaduk ini juga akan terkena sumpahan itu. Keturunan Pak Kaduk dikatakan kebanyakannya berada di Lambor Kiri, Lambor Kanan, Pulau Tiga dan Bota yang terletak di Perak Tengah. Mereka yang termasuk dalam golongan itu kononnya akan terkena penyakit kulit yang disebut SEMALI iaitu pecah-pecah kulit, berair dan terasa gatal-gatal sehingga ke tulang jika termakan ikan tapah.

Di samping itu, kulit mereka akan melecur,sakit sendi dan tulang. Menurut Haji Daharun bin Haji Yajit 77, peristiwa Pak Kaduk itu berlaku ratusan tahun lalu di kampung Lambor Kiri iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Iskandar Syah Almarhum Aulis Allah Geronggong Perak. Menurut seorang daripada keturunan ke sembilan Pak Kaduk, Hajah Asmah bt Pndak Logam 76, mendakwa ada menyimpan khazanah Pak Kaduk iaitu tiga butir kerongsang emas yang boleh menjadi penawar penyakit sumpahan itu. Katanya lagi, kerongsang tersebut sepatutnya di simpan oleh adiknya, Izham bin Pandak Logam,yang merupakan pewaris terdekat dan kini menetap di Selayang Bahru, Selangor. Haji Daharun yang menetap di Kampung Tua,Lambor Kanan bersetuju dengan tindakan tersebut supaya memudahkan pesakit pulang ke kampung halaman untuk berubat.

Katanya lagi, seboleh-bolehnya emas kerongsang tersebut tidak di bawa keluar dari Lambor Kanan. Dalam temubual dengan Hajah Asmah di rumahnya di Kampung Tua, Lambor Kanan, beliau mendakwa kerongsang itu telah mengubati ribuan orang yang terkena sumpahan akibat termakan ikan Tapah. Katanya, penyakit tersebut disebabkan oleh sumpahan itu berupa melecur kulit, sakit sendi dan tulang akan hilang apabila meminum air yang telah direndam dengan tiga butir kerongsang tersebut. Tiga keping kerongsang emas itu berbentuk potongan wajik, ukurannya dua inci bertatahkan batu delima yang dikatakan telah berusia 900 tahun adalah satu daripada tiga barang emas kepunyaan Pak Kaduk diperbuat daripada emas urai yang dijumpai dalam perut ikan Tapah. Menurut Hajah Asmah, tidak ada syarat yang dikenakan bagi mereka yang berubat. Mereka cuma dikehendaki minum air rendaman emas itu ataupun mandi dengan air itu supaya badan yang melecur terubat.


TERKENA PENYAKIT

Menurut Hajah Asmah bagi, setiap hari lebih kurang 5-10 orang datang kerumahnya berubat dan dengan izin Allah penyakit mereka sembuh. Dalam temu bual dengan Izham B. Pandak Logam, 67 di Selayang Baru Selangor, berkata tiap-tiap keluarga mereka akan mengadakan kenduri arwah di rumah Hajah Asmah. Sebelum tiba bulan puasa, dengan menggunakan wang yang didermakan oleh orang ramai yang datang berubat. "Kerongsang emas itu dikatakan tidak boleh digadai dan diperbuat sebarangan seperti dipinjamkan kepada orang lain", katanya. Kebanyakan yang datang ini termasuk orang dari Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan lain-lain adalah merupakan keturunan Pak Kaduk yang telah berhijrah ke tempat lain. Hajah Asmah juga mendakwa hanya kerongsang itu yang boleh mengubat penyakit sumpahan ikan Tapah dengan izin Allah s.w.t. Beliau menceritakan tentang seorang wanita dari Perak yang terkena penyakit semali telah pergi berubat dengan doktor, tetapi keadaan kulitnya yang melecur tidak boleh diubati selama hampir tiga tahun. Bagaimanapun, keadaannya dikatakan pulih setelah wanita itu datang berubat dengan meminum air rendaman kerongsang emas itu. Haji Daharun turut bercerita kisah perjanjian Pak Kaduk dengan ikan Tapah yang terjumpainya terdampar di daratan Sungai Perak. Katanya, menurut orang-orang tua, Pak Kaduk berasal dari Siak, Sumatera dan telah datang merantau ke Perak lalu menetap di Kampong Lambor Kiri bersama isteri dan anak perempuannya.


GEMAR MENYABUNG AYAM

"Pak Kaduk ini dikatakan suka dengan permainan kegemaran penduduk kampung ketika itu iaitu permainan sabung ayam dan mempunyai seekor ayam jantan yang handal. "Oleh sebab ayamnya selalu menag, seorang penghulu iri hati tehadap kejayaan ayam Pak Kaduk, lalu berhasrat untuk mencuri ayam itu. "Suatu malam,penghulu itu telah berpakat dengan kawannya untuk menipu Pak Kaduk dengan menyuruh rakannya menyeru nama Pak Kaduk dari atas pokok supaya menyerahkan ayamnya. "Pak Kaduk yang ketakutan kerana menganggap suara itu suara jembalang terus menyerahkan ayamnya. Nasib Pak Kaduk bertambah malang apabila dia tewas dalam pertandingan sabung ayam menyebabkan kampung halaman, anak dan isterinya tergadai ke tangan penghulu itu. Pak Kaduk yang malang itu terus lari ke sebuah pondok. Pada suatu hari, kucing belaan Pak Kaduk datang menghampirinya seolah-olah mengajak Pak Kaduk mengikutnya ke suatu tempat. Kucing itu membawa Pak Kaduk ke tebing Sungai Perak dan di situlah dikatakan Pak Kaduk ternampak seekor ikan Tapah sebesar manusia berperut buncit terdampar di daratan. Pak Kaduk dikatakan membelah ikan itu dan dalam perut ikan Tapah itulah dia menjumpai lebih kurang secupak emas urai. "Kerana terlalu gembira, Pak Kaduk telah menjahit semula perut ikan itu dengan menggunakan tali bemban,"sambungnya.


SUMPAH PAK KADUK

Pak Kaduk terus bersumpah bahawa keturunannya tidak akan dibenarkan menganiayai dan memakan ikan Tapah sampai bila-bila sebelum melepaskan semula ikan itu ke sungai Perak. "Ada yang begitu alah dengan pantang itu sehingga terkena air atau terbau ikan Tapah menyebabkan kulit mereka melecur,"tambah Daharun. Menurutnya lagi,dengan emas yang diperolehi itu,Pak Kaduk telah menebus semula kampung, isteri dan anaknya daripada penghulu itu. Emas selebihnya digunakan untuk perbelanjaan seharian serta membayar hutang dan sebahagian daripadanya di perbuat perhiasan barang kemas. Menurut Izham pula, Pak Kaduk dikatakan kembali ke Siak dan di sana dia menempah sepasang subang, sebentuk cincin dan tiga keping kerongsang emas yang sekarang disimpan oleh Hajah Asmah itu. "Kerongsang itu dibuat oleh Pak Kaduk sebagai penawar bagi sumpahannya manakala barang kemas lain dijadikan perhiasan. "Subang itu kini dikatakan ada disimpan oleh kaum keluarga Pak Kaduk di Siak, manakala cincin itu pula disimpan oleh keturunan Pak Kaduk yang menetap di Kuala Dipang, Perak. "Pak Kaduk pengasas sumpahan ikan Tapah itu dikatakan meniggal dunia di Siak dan kuburnya didakwa masih ada sehingga sekarang,"tambah Izham mengakhiri ceritanya. Mungkinkah ikan Tapah tidak boleh dimakan disebabkan sumpahan Pak Kaduk dan bolehkah tiga butir keronsang emas yang dikatakan dari perut ikan tapah itu boleh dijadikan bukti tentang kebenaran peristiwa itu? Adakah air rendaman kerongsang ini benar-benar boleh menyembuh penyakit semali yang didakwa oleh keturunan Pak Kaduk? Sehingga ke hari ini masih belum dijawab.

di kirim pada email ADMIN