4.7.09

PARI GENG HAJI

KUALA PAHANG: Air pasang besar adalah keadaan dan detik paling sesuai menawan penghuni pantai Kuala Pahang kerana ketika itulah spesies pari dan gerong belang mengejar anak ikan serta udang hingga ke tepi pantai, kata pemancing tempatan, Shukmi Nordin dikenali sebagai Haji.

Katanya, kunjungan beliau bersama beberapa rakan baru-baru ini mendapati air pasang besar selama tiga jam antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang menyaksikan ramai kaki pancing mengerumuni pantai berkenaan dan tidak hairan waktu yang sama pada karnival GP Joran pada 7 Jun turut mengalami keadaan yang sama.

“Keadaan pantai sedikit berteluk, menyaksikan pelbagai spesies ikan berkampung di situ. Umpan hidup sama ada udang putih atau udang lipan amat digemari pari dan gerong belang. Begitu juga anak gelama ataupun bolos tetap menarik perhatian mangsa. Yang penting, pemancing perlu bersedia dengan udang hidup, manakala umpan segar kurang digemari.


“Kunjungan saya bersama Atan, Husin, Azman Giant dan Asram baru-baru ini menyaksikan sebanyak 18 pari bersaiz antara 10 hingga 25 kilogram berjaya didaratkan. Manakala tiga ekor gerong belang yang beratnya antara 2 hingga 4 kilogram turut ditewaskan,” katanya kepada JORAN.

Selain pari, spesies seperti sembilang, gelama papan, belukang dan kerapu turut mendiami perairan pantai Kuala Pahang yang menjadi lokasi kategori Pantai pusingan kedua Karnival GP Joran 2009 nanti.

Shukmi turut menasihatkan pemancing yang ingin menundukkan pari dan gerong belang bersaiz bagak di situ perlu menggunakan tali berkekuatan sederhana 40 pauns dengan perambut 50 pauns bagi mengelakkan berputih mata.

“Pari di sini amat licik, jika anda menggunakan tali 25 hingga 30 pauns bakal berputih mata. Jadi, pilih yang bersesuaian dan perambut hanya 1 meter. Jika menggunakan perambut dua atau tiga depa, alamat si todak yang menyambar umpan,” katanya.

Karnival GP Joran 2008 mencatatkan tangkapan seberat 58.84 kilogram bagi kategori Pantai dan gagal mengatasi rekod tahun 2005 dengan catatan 88.76 kilogram. Spesies pari menguasai Kategori Pantai dengan 17 tangkapan, diikuti gelama (sembilan), semilang (enam), duri (empat), todak (dua) dan masing-masing satu bagi ketuka serta aruan tasik.

Gerung belang yang disebut-sebut menguasai Kategori Pantai, bagaimanapun tidak terdapat dalam senarai pemenang.

INFO:

* Gunakan umpan udang hidup untuk memburu tangkapan lumayan
* Tali utama berkekuatan 40 paun dan perambut 50 paun
* Panjang perambut hanya 1 meter

No comments:

Post a Comment