4.7.09

RAHSIA MEMBURU DI KUALA PAHANG

Kuala Pahang terkenal dengan lubuk ikan terbaik dan sering menjadi lokasi utama kaki pancing dari seluruh negara menguji dan memburu spesies seperti ebek, tenggiri, bayan, ketarap, merah, jenahak, kerapu, landuk dan layar.

Perairan Kuala itu mempunyai puluhan lubuk, tukun dan karang buatan atau karang semula jadi yang di kenal pasti oleh tekong mahu pun nelayan veteran tempatan.

Antara lubuk yang menjadi tumpuan ialah Karang Mengepam (6 batu nautika), Karang Keroncong (4 batu nautika), Karang Cher (11 batu nautika), Karang Lintang Darat (69 batu nautika) Karang Lintang Tengah (8.5 batu nautika), Karang Dol (8.6 batu nautika), Karang Sembilan Buah (12.5 batu nautika) dan Karang Cerengdeng (9.7 batu nautika). Malah banyak lagi lubuk yang berada jauh dari muara Kuala Pahang.


Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pekan, Zamri Mohamad, berkata berdasarkan pengalamannya sebagai tekong, pemancing harus bijak memilih tarikh, masa dan umpan.

Tarikh air mati mengikut kalendar Islam sangat baik untuk memancing. Pada waktu itu, arus air pasang dan surut sangat lemah sekali gus kesempatan itu diambil oleh pemancing untuk memancing dengan selesa dan berterusan.

Pancing dasar perlukan arus yang sederhana bagi membolehkan umpan bergerak bagi menarik perhatian ikan yang berada dalam kawasan itu. Pada masa yang sama, elak daripada berdepan dengan arus yang terus mati (tidak berarus langsung).

Zamri berkata, umpan hidup seperti ikan, sotong atau udang sangat berkesan di perairan Kuala Pahang malah di merata perairan lain.

Umpan hirisan isi daging ikan segar masih boleh digunakan tetapi perlu selalu ditukar ganti bagi menentukan ia sentiasa dalam keadaan segar.

Selain itu, teknik menghiris isi ikan kembung, selar, tamban dan ikan selayang serta kaedah mencangkuk pada mata kail perlu disesuaikan dengan keadaan air.

Zamri turut menasihatkan pemancing menggunakan perambut panjang antara tiga hingga lima depa. Mata kail besar pula diikat dawai putih panjang sejengkal untuk mengelak putus dikerat gigi tajam ikan tenggiri atau alu-alu. Namun tenggiri lebih gemar perambut halus yang tidak dapat dilihat tetapi berisiko untuk putus sekali gus menyukarkan pemancing yang kurang berpengalaman.

Apa pun faktor arus pasang dan surut yang deras mempengaruhi keadaan sekeliling. Jadi, pemancing perlu menukar teknik kerana ada kawasan yang arusnya deras tetapi pada masa sama menjadi waktu paling galak ikan memburu umpan.

Kekili elektrik sesuai digunakan pada waktu begini kerana mengarau batu ladung sebesar penumbuk dalam arus deras bukan mudah malah memenatkan.

Bagi kumpulan Tuna Biru dan pemancing lain yang pernah berkunjung ke Kuala Pahang dapat merasakan bahawa lubuk, tukun dan karang di sini mampu menjamin kepuasan pemancing dengan hasil seperti kerapu, jenahak, merah, tenggiri, alu-alu, aruan tasik, jemuduk, cupak, mayung, ebek dan ibu gelama.

No comments:

Post a Comment